Terima Kasih Di Atas Kepercayaan & Amanah Yang Diberikan

Johore-Sultan-Khaled

Pasti ramai sudah tahu bahawa Kerajaan Negeri Johor telah menyusun semula barisan Exco kerajaan negeri seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

Berkuat kuasa Ahad depan, saya tidak lagi memegang portfolio Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ekoran dari rombakan tersebut, saya telah dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan  yang sebelum ini diselia oleh sahabat saya, Datuk Abd Latif Bandi.

Saya ingin mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan untuk memikul tanggungjawab ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, atas kepercayaan ini.

Dengan izin Allah, saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memahami dan mendalami portfolio baharu ini.

Sebagai permulaan, saya akan melakukan dengan segera perjumpaan dengan pegawai-pegawai bahagian perumahan dan kerajaan tempatan bagi mendapat kerjasama mereka.

Saya akan berusaha untuk mengkaji dan memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada dan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan kerajaan negeri, khususnya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Terima kasih atas sokongan anda semua.
Terima Kasih Di Atas Kepercayaan & Amanah Yang Diberikan Terima Kasih Di Atas Kepercayaan & Amanah Yang Diberikan Reviewed by Jais Sarday on Mac 09, 2017 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.