Boleh Huru-Hara Jika Sistem Negara Tidak Dilaksana Penuh Integriti


Pada pagi ini saya merasmikan program 2 dalam 1, iaitu kempen perangi rasuah di bawah Program Enhancing Integrity Project (EIP) yang bertemakan Memperkukuh dan Membudayakan Integriti Dalam Tindakan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor dan Program Semarak Merdeka Negaraku Sehati Sejiwa.

Bermula dengan walkabout integriti di Laman Kreatif, berbasikal di sekitar bandar Kluang dan berakhir di flat Haji Manan. Sewaktu berbasikal saya singgah di kedai makan untuk memberikan kit kempen "say no to corruption" kepada orang Kluang.

Hari ini dengan kemajuan yang sebegini pesat, cabaran rakyat dan masyarakat kita ialah soal intergiti. Semakin maju negara itu, semakin banyak sistem diperkenalkan.. Kalau mereka yang mencipta dan melaksanakan sistem itu tidak ada integriti maka negara itu akan jadi huru hara.

Sebab itu kalau cakap tentang soal integriti mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka itu maksudnya mudah iaitu kejujuran. Soal kejujuran ini sangat luas.. Kejujuran kepada diri kita sendiri, keluarga kita, tugas dan tanggungjawab kita dan malah yang paling besar ialah kesetiaan kepada negata kita.

Sebab itulah hari ini kita ucapkan tahniah dan syabas kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa berusaha keras untuk kempen dan membudayakan soal integriti kepada masyarakat.

Dalam konteks kita menyemarakkan semarak merdeka pada tahun ini, saya kira program ini amat bersesuaian di samping kita melaungkan merdeka dan menaikkan bendera.. Kita juga tanamkan semangat untuk menyemarakkan semula rasa integriti dalam diri kita masing-masing.

Kita dah merdeka 60 tahun, dan kalau tengok dengan apa yang berlaku sebelum ini di masa kita menyambut kemerdekaan, nampaknya seolah-olah masyarakat kita ini ada sebilangannya tak perasan bahawa kita ini nak menyambut 31 Ogos tidak lama lagi.

Saya katakan sebegitu kerana walaupun saban tahun kerajaan mengadakan kempen kibar jalur gemilang untuk semarakkan balik rasa merdeka, tetapi bila suruh kibar bendera, semua cari bendera free..

Bayangkan betapa nipisnya perasaan jati diri bangsa kita ini, tidak kira bangsa apa pun, terhadap rasa cinta kepada tanah air kita ini. Jadi inilah cabaran kita soal semangat jati diri kepada rakyat kita semakin berkurangan.

Cabaran kita yang ketiga adalah cabaran media sosial yang dimanipulasikan oleh setengah pihak yang memang sengaja untuk memutar belitkan cerita-cerita yang tidak betul menjadi betul.. Cerita yang tidak betul ini kalau diulang-ulang, lama-lama orang ingat jadi betul.

Ini cabaran kita.. Cerita-cerita tanamkan semangat sentimen benci kepada pemerintah, benci kepada pemimpin yang akhirnya memecah-belahkan antara kita semua.

Kita sebagai rakyat Malaysia, rakyat Johor di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar Johor, kita nak bawa negeri Johor ke arah negeri yang maju kehadapan. Kita di peringkat pimpinan kerajaan dan rakyat harus bersama-sama bergerak seiring demi mencapai cita-cita ini.

Mudah-mudahan ianya dapat memberikan munafaat kepada seluruh masyarakat.
Boleh Huru-Hara Jika Sistem Negara Tidak Dilaksana Penuh Integriti Boleh Huru-Hara Jika Sistem Negara Tidak Dilaksana Penuh Integriti Reviewed by Jais Sarday on Ogos 19, 2017 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.