Kerajaan Johor Sasar 60,000 Unit Rumah Mampu Milik Menjelang 2020

rumah-mampu-milik-johor

Pagi tadi saya menjawab soalan Dewan Negeri yang dikemukakan oleh ADUN Pasir Raja iaitu berkaitan semua jenis inisiatif serta projek perumahan yang ditawarkan atau diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor yang telah dan sedang dilaksanakan di Negeri Johor.

Pertama, Kerajaan Negeri telah menyasarkan sebanyak 60,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang tahun 2020. Sehingga Oktober 2017, sebanyak 16,010 unit telah siap di bina.

Kedua, tahun 2016 Kerajaan Negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) telah memperuntukkan sebanyak RM 20 juta untuk membina Rumah Mesra Rakyat Johor.

Ketiga, melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) juga, Kerajaan Negeri telah melancarkan satu skim sewa beli dikenali dengan nama Jauhar Prihatin. Di bawah fasa pertama skim ini, sebanyak 409 unit telah dibuka untuk permohonan.

Keempat, kerajaan negeri telah membuat jalinan sinergi bersama pihak Ambank Islamic memperkenalkan Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan saiz dana mencecah RM300 juta bagi membantu rakyat negeri ini yang menghadapi masalah pembiyaan dalam memiliki kediaman.

Kelima, pemberian Baucer RM1,000 kepada mereka yang telah Berjaya memiliki rumah dalam membantu mengurangkan beban. Sehingga November 2017, sebanyak 2,872 telah berjaya menerima baucer ini.

Keenam, Skim MyHome antara salah satu langkah Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik yang menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit. Di Johor sebanyak 2,228 unit telah ditawarkan kepada pemohon yang layak.

Ketujuh, sebanyak 8,038 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah siap dibina dan 3,217 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijangka akan siap pada tahun 2019 di Negeri Johor bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan sewaan serendah RM124 sebulan.

Kelapan, sebanyak 676 unit kediaman PR1MA telah siap dibina di Negeri Johor iaitu projek PR1MA di Taman Nusantara (201 unit) dan Bandar Layangkasa (475 unit). Sehingga kini, PR1MA telah meluluskan sebanyak 11,310 unit kediaman PR1MA (13 projek) untuk Negeri Johor.

Kesembilan, sasaran pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia di negeri Johor adalah sebanyak 15,000 unit. Setakat ini sebanyak 6,101 unit sudah lulus diperingkat Kerajaan Pusat bagi pembinaan PPA1M di Negeri Johor.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan pembangunan Johor ke arah Johor Berkemajuan. Kesejahteraan rakyat merupakan matlamat utama kerajaan negeri pada hari ini.
Kerajaan Johor Sasar 60,000 Unit Rumah Mampu Milik Menjelang 2020 Kerajaan Johor Sasar 60,000 Unit Rumah Mampu Milik Menjelang 2020 Reviewed by Jais Sarday on November 30, 2017 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.